20110620

Internet Untuk Semua (Internet For All, DiGi WWWOW Award)

Internet untuk semua bukanlah hanya kemudahan capaian internet untuk semua golongan. Yang lebih penting lagi pada aku adalah hak semua orang terhadap internet dapat ditunaikan. Tetapi dengan kekuasaan sesetengah pihak terhadap internet, kadangkala hak sesetengah orang ditidakkan. Walau bagaimanapun, garis panduan, pemantauan dan penguatkuasaan juga amat penting untuk memastikan hak semua orang terjaga. 

Kerana itulah untuk memastikan matlamat Internet Untuk Semua ini tercapai, pihak yang menguasai internet haruslah memahami dan seterusnya menyemai semangat "Untuk Semua" ini di dalam diri. Hanya pihak yang menjiwai betapa "Untuk Semua"nya internet ini seharusnya diberi peranan menguruskan internet. Budaya hanya dapat diubah dengan mudah dari atas.

20101017

pil & kapsul

Ayah aku kalau makan pil atau kapsul biasanya dengan air, sebagaimana kebiasaan orang kebanyakan. Tetapi dia juga boleh makan pil atau kapsul dengan buah pisang. Buah pisang itu dikunyah hingga lumat terlebih dahulu sebelum ditelan bersama dengan pil atau kapsul. Tidak perlu air. Kebolehan ini pada mulanya aku sangkakan sesuatu yang eksklusif dengan ayah aku. Rupa-rupanya bakat tersebut diwarisi daripada arwah atuk aku. Arwah atuk aku sebenarnya lagi handal. Dia langsung tidak biasa menelan pil atau kapsul dengan air. Kebiasaannya adalah dengan makanan. Kadang-kadang dengan ayam, biskut, roti, tetapi selalunya dengan nasi putih sahaja.

Aku pernah cuba, tetapi pil kecil sahaja. Takut tak tertelan. Kali pertama aku cuba, pisang tersebut masuk ke kerongkong, malangnya pil masih tertinggal di dalam mulut. Kali kedua baru berjaya. Aku masih lagi selesa menelan pil atau kapsul dengan air. Aku percaya bahawa, sekiranya kebolehan ini dikuasai, mudah untuk kita mengambil ubat pada waktu yang ditetapkan. Kita tidak akan terlalu bergantung kepada air.

20091020

guru (20050131)

Sebagaimana orang lain, aku juga punya guru-guru yang terkesan dalam hidup aku. Ada yang pandai mengajar, ada yang penyayang, ada juga yang yakin dengan aku. Malangnya ada guru yang aku hormat, tapi aku lupa siapa dia. Guru Tabika Kemas Kuala Kubu Bharu yang ajar aku pada tahun 1989. (betul tabika, bukan aku salah eja. tabika = TAman BImbingan KAnak-kanak , tadika = TAman DIdikan KAnak-kanak , taska = Taman ASuhan KAnak-kanak. Ini sesuatu yang pelik. Biasanya Bahasa Indonesia yang punya banyak kependekan) Aku hormat sebab kalau bukan dia yang mesrakan aku dengan angka-angka serta huruf-huruf, tentu aku tidak seperti ini.

20090709

dewasa

Cuti-cuti bersama keluarga membuat aku mesra semula bersama mereka. Aku juga dapat bermanja-manja dengan mereka. Benar aku sudah dewasa, tetapi dewasa itu sendiri adalah sesuatu yang subjektif. Terpulanglah, ada yang kata dewasa pada umur, ada yang kata dewasa pada tindakan, juga dewasa pada ketrampilan. Cuma pada aku, aku takkan jadi dewasa di mata ibubapa aku. Bukannya mereka tidak membiarkan aku membuat keputusan aku sendiri. Bukannya mereka mengongkong aku. Tapi aku tahu, aku bukan siapa-siapa di mata mereka. Aku hanyalah seorang anak pada mereka.

20081102

universiti

Tekanan belajar di universiti amat berlainan dari zaman persekolahan. Yang paling utama, tiada maaf dalam peperiksaan di universiti. Di sekolah, kalu kau buat salah dalam kuiz ataupun ujian bulanan, kau boleh belajar dari kesilapan tersebut agar kau tak buat lagi salah di peperiksaan akhir, terutama sekali yang utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya. Lain di universiti. Biasanya, apa yang sudah keluar semasa ujian dalam semester, tidak akan keluar semasa peperiksaan akhir. Jadi kalau kau ada buat salah, kau tak akan dapat tebus kesalahan itu pada peperiksaan akhir.

20081005

maaf

Aidilfitri tiba lagi. Ucapan-ucapan berkenaan raya ini bertaburan di sana-sini. Ada pada banner, kad-kad, mahupun sms.Yang paling murah melalui e-mail. Biasanya bertulis "Selamat Hari Raya". Yang panjang sedikit ada tambahan "Aidilfitri".Yang pendek sedikit cuma "Salam Aidilfitri". Bukan kaedah yang ingin aku bincangkan. Juga bukan ucapan awalan tadi.Tetapi ucapan yang mengekori teks tadi, yakni "Maaf Zahir dan Batin".

Ramai orang menganggap ucapan ini merupakan ringkasan bahawa pengirim ingin memohon maaf atas kesalahan beliau yang telah lalu, tak kira yang kelihatan mahupun yang tersembunyi. Dulu aku pun begitu juga. Tetapi yang membuatkan aku tertanya-tanya, kenapa cuma ada perkataan maaf sahaja, tiada kata mohon ataupun minta sebelumnya. Baru-baru ini aku terfikir, mungkin ucapan ini membawa maksud yang lebih besar dari sekadar meminta maaf sahaja. Aku rasa "Maaf Zahir dan Batin" tidak sekadar memohon kemaafan, tetapi disamping itu menyatakan bahawa kita telahpun memaafkan kesalahan penerima ucapan. Dengan kata lain, kita sebenarnya bukanlah cuma berkata, "Aku minta maaf atas kesilapan aku"; tetapi berkata, "Aku maafkan segala kesalahan kau. Aku harap kau dapat maafkan segala kesalahan aku".

20071226

belajar2

Sering kali orang meminta bantuan aku sekiranya ada sesuatu yang tidak mereka mampu mereka lakukan. Aku pun begitu juga. Meminta tolong tatkala merasa diri kurang kemampuan. Yang menghairankan aku adalah kebanyakan orang yang meminta bantuan aku itu cuma mahu hasil akhirnya sahaja. Mereka tidak mahu tahu bagaimana sesuatu perkara itu dilakukan. Nanti apabila masalah sama wujud, mereka akan minta bantuan semula. Aku, kalau boleh, akan belajar macam mana caranya untuk menyelesaikan masalah tersebut supaya lain kali tidaklah aku meminta bantuan orang lagi. Aku terkilan sebenarnya kerana apabila aku ingin mengajar mereka cara menyelesaikan masalah tersebut, mereka tolak. Bagi mereka asalkan masalah tersebut selesai buat masa ini, sudah mencukupi. Walaupun begitu, ada juga orang yang bila aku minta ajarkan, tidak mahu. Kata mereka kalau ada masalah nanti datanglah kembali cari mereka. Untuk apa ilmu itu disimpan sendiri, tidaklah diketahui.

20071021

keras

Aku semasa muda-muda dulu biasa lakukan sesuatu perkara mengikut bagaimana kebanyakan orang lakukan perkara tersebut. Kebanyakan orang maksudnya, kebanyakan orang yang sebaya dengan aku ataupun rakan-rakan aku. Biasalah fikiran masing-masing tidak matang. Selalunya melakukan perkara yang merugikan diri sendiri.

Sekarang ini hati aku semakin keras. Aku sudah lebih memikirkan baik buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Kini aku akan melakukan perkara yang betul (mengikut pandangan aku) tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Biasanya aku akan mengikut gerak hati sahaja sekiranya ada antara pilihan-pilihan itu samar.

Akan tetapi semakin keras hati aku, semakin sukar untuk aku menerima pandangan serta idea orang lain. Kadang-kadang kalau aku rasa idea orang lain lebih baik, aku terima juga. Cuma aku selalunya menganggap idea aku yang terbaik serta pesimis terhadap idea orang lain. Ini bukan perkara yang baik untuk kehidupan. Aku sebenarnya takut hati aku akan menjadi lebih keras lagi sehingga langsung tidak mengambil kira pendapat lain.

20071001

belajar

Ramai rakan aku kalau boleh tidak mahu belajar lagi. Bagi mereka kalau sudah dapat ijazah sarjana muda (atau kata mudahnya segulung ijazah) sudah mencukupi. Bukannya apa, kata mereka, kebanyakannya sudah merasa penat belajar berbelas-belas tahun. Mereka merasakan belajar merupakan satu perkara yang amat membosankan. Aku rasa pelik. Bagi aku belajar tidak pernah membosankan. Setiap hari kalau boleh aku ingin ada satu ilmu baru bagi aku. Aku akan memilih untuk melakukan sesuatu, sekiranya pada akhirnya aku akan dapat pengetahuan baru. Yang bosan pada aku adalah menduduki peperiksaan. Kalau belajar sahaja tidak mengapa.

20070920

foto


ralat: Aku tersilap tulis tahun. Malas rasa nak betulkan. Harap kalian faham.