Showing posts with label lama. Show all posts
Showing posts with label lama. Show all posts

20091020

guru (20050131)

Sebagaimana orang lain, aku juga punya guru-guru yang terkesan dalam hidup aku. Ada yang pandai mengajar, ada yang penyayang, ada juga yang yakin dengan aku. Malangnya ada guru yang aku hormat, tapi aku lupa siapa dia. Guru Tabika Kemas Kuala Kubu Bharu yang ajar aku pada tahun 1989. (betul tabika, bukan aku salah eja. tabika = TAman BImbingan KAnak-kanak , tadika = TAman DIdikan KAnak-kanak , taska = Taman ASuhan KAnak-kanak. Ini sesuatu yang pelik. Biasanya Bahasa Indonesia yang punya banyak kependekan) Aku hormat sebab kalau bukan dia yang mesrakan aku dengan angka-angka serta huruf-huruf, tentu aku tidak seperti ini.

20060804

ibu (20050104)

Ketika aku melihat telatah seorang ibu dengan anaknya (atau anak-anaknya), aku teringat akan mak aku. Mungkin kerana semua ibu itu pada umumnya sama.

20060803

tempat duduk (20050102)

Di dalam bas mahupun keretapi terdapat dua jenis tempat duduk. Satu menghadap ke hadapan (sama arah dengan tempat duduk pemandu) dan satu menghadap ke belakang (lawan arah tempat duduk pemandu). (ya, aku tahu ada juga yang menghadap arah sisi, tapi tempat duduk sebegitu tak begitu sesuai dalam entri ini). Tempat duduk yang menghadap ke hadapan ini sangat popular. Kalian perlu cepat sekiranya ingin mendapatkannya. Ada orang memerlukan tempat duduk yang menghadap ke hadapan kerana mereka kata, mereka mudah pening kepala sekiranya mereka duduk menghadap ke belakang.


Sedari dulu lagi, aku akan mengambil tempat duduk yang menghadap ke belakang semata-mata kerana aku malas hendak berebut dengan orang lain yang ingin mendapatkan tempat duduk yang menghadap ke hadapan. Tapi itu cerita dulu. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan tempat duduk menghadap ke belakang, aku kini lebih suka tempat duduk sebegini. Biarpun ada tempat duduk menghadap ke hadapan yang kosong, aku pilih juga yang menghadap ke belakang. Tetapi kebiasaan ini amat bahaya apabila aku berjalan seorang kerana aku mungkin terlepas stesen akibat pandang ke belakang.

20060802

abang/kakak (20041215)

Apa kalian rasa bilamana seseorang yang muda daripada anda (contoh junior) memanggil anda abang atau kakak? Ada antara rakan aku yang berasa geli bila dipanggil sebegitu, disebabkan perbezaan umur yang tidak begitu ketara. Aku pula tidak kisah dengan panggilan sebegitu (panggilan abang, bukannya kakak) kerana dalam keluarga aku memang telah diterapkan benda sebegini. Sepupu aku yang muda 4 bulan dari aku memanggil aku abang dan sepupu yang tua setahun dari aku, aku panggil kakak (ya, sebab dia perempuan).


Zaman muda-muda dahulu aku sangka semua orang macam aku. Jadi bilamasa aku bercerita tentang keluarga aku, aku akan menggunakan abang saudara / kakak saudara / adik saudara. Ada rakan aku mengerutkan dahi. Apabila aku tukarkan perkataan tadi kepada sepupu, barulah mereka faham. Sebab bagi mereka biarpun beza umur 20 tahun, tetap mereka panggil sepupu, tidak seperti aku.

20060801

tolong (20041122)

Rakan aku merungut bahawa kami sering berbuat baik dengan orang yang tidak membalas kembali perbuatan baik itu. Aku kata semula kepadanya yang aku masih lagi berbuat baik kerana aku percaya, sekiranya kita menolong orang, dengan izin tuhan, ada orang akan menolong kita masa kita susah nanti. Ayah aku pernah menasihati aku, agar tidak menolong orang yang kita tahu takkan menolong kita masa kita susah meskipun kita meminta bantuan mereka (kira macam tak kenang jasa). Semua pemikiran ini membuatkan aku berfikir, apakah keikhlasan itu sudah hilang?

20060731

makan (20041110)

Aku tahu ada dikalangan kalian yang semasa makan akan menyimpan (letak tepi) dahulu makanan yang kalian suka ataupun rasa sedap untuk dimakan kemudian, yakni akhir sekali. Aku pun masa kecil dahulu begitu juga. Seperti biasa adik aku akan mengikut apa yang abang dia buat. Kemudian aku dapat satu idea. Aku makan dahulu apa yang aku suka atau rasa sedap. Adik aku masih lagi menyimpan (letak tepi). Ketika diakhir sesi makan, adik aku tanpa segan silu memberikan sebahagian dari makanan yang dia letak tepi tadi kepada aku sebab dia agak kekenyangan. Ya, kini aku dapat makan makanan yang sedap itu lebih banyak. (Sebenarnya kalau aku makan makanan tersebut kemudian, adik aku takkan beri bahagian dia dengan alasan aku masih ada lagi. Taktik ini tetap aku teruskan sehingga kini bilamasa aku makan bersama keluarga aku.)

20060730

hari lahir (20041018)

Tentunya kalian pernah menerima ucapan selamat hari jadi mahupun mengucapkan selamat hari lahir. Aku juga pernah. Katakan kalian punya hari lahir pada awal tahun, kemudian menerima ucapan dari rakan kalian yang hari jadinya jatuh pada akhir tahun. Tentunya terdetik di hati kalian untuk membalas ucapan hari jadi itu ketika akhir tahun nanti. Tidakkah itu berbunyi seperti kalian mengucapkan selamat hari jadi kepada rakan kalian hanya semata-matakerana rakan kalian pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada kalian? Kalau ucapan itu ikhlas dari hati tidak mengapa. Cuma, tidak kiralah ucapan apa pun ( hari raya ke, salam merdeka ke), kalau kita ucapkan kepada dia hanya setakat disebabkan dia pernah ucapkan kepada kita, baik tak payah.

20060729

lagu rakyat (20041006)

Kalau kalian perhatikan, kebanyakan lagu yang dipanggil lagu rakyat sebenarnya merupakan lagu pada zaman 60-an ataupun lebih lama dari itu lagi. Lagu-lagu ini dipanggil lagu rakyat kerana lagu-lagu tersebut bertahap malar segar (evergreen) dan mudah dinyanyikan oleh orang biasa. Lagu-lagu rakyat setiap negeri pula mempunyai dialek yang pekat biasanya. Biasanya lagu-lagu ini dinyanyikan ketika adanya persembahan kebudayaan (Sepatutnya tiada orang nyanyi lagu Negaraku ataupun lagu-lagu patriotik yang lain dalam persembahan kebudayaan). Aku suka dengar lagu-lagu rakyat, iramanya lebih santai dan senang diikuti. Lagu rakyat yang paling aku suka dengar ialah, Jambatan Tamparuli. Biarpun aku tak faham liriknya.

20060728

serius (20040427)

Aku rasa aku seorang yang serius. Ini menyebabkan ramai orang takut beramah-mesra dengan aku (atau lebih tepat jika aku katakan segan), kerana ketika mereka berjenaka pun aku serius. Perkara ini tidak baik untuk kehidupan sosial aku. Aku lihat orang yang pandai beramah-mesra sering kali menyelitkan humor dalam perbualan mereka. Oleh itu, aku telah cuba berjenaka dalam perbualan aku, dengan harapan kehidupan sosial aku bertambah baik.Tetapi hasilnya amat mendukacitakan. Kini orang lain benci pula berbual dengan aku, kerana aku berlawak ketika mereka serius dan sebaliknya. Mungkin lebih baik aku terus sahaja bersikap serius, biarlah orang tidak berbicara dengan aku, asalkan aku tidak dibenci.

20060727

normal (20040413)

Aku benci lawak bodoh, tetapi aku sering buat lawak bodoh.

Aku sering nasihatkan orang supaya bersabar, tetapi aku cepat marah.

Aku tak suka orang lewat, tetapi aku selalu lewat.

Aku kurang gemar mendengar alasan, tetapi aku selalu memberi alasan.

Aku suka orang tangkap gambar aku, tetapi aku tak suka tangkap gambar orang.

Aku gemar melihat bilik yang kemas, tetapi aku malas kemas bilik.

Aku sanggup makan, tetapi aku tak sanggup membeli makanan.

Aku selalu ambil tahu hal orang, tetapi aku tak suka kalau orang ambil tahu hal aku.

Aku benci orang memberikan aku ketidaktentuan, tetapi aku sering memberikan ketidaktentuan.

Normalkah aku?

20060726

muzik (20040405)

Aku dan ibu bapa aku punya citarasa yang berbeza dalam pemilihan lagu. Walaupun terdapat beberapa lagu yang kami sama-sama minat; yang selebihnya cukup berbeza. Kebanyakan lagu yang aku minat mereka benci, tetapi sedikit sahaja lagu yang mereka minat aku benci. (Aku rasa tahap penerimaan lagu aku lebih rendah ataupun bahasa mudahnya aku lebih lenient) Ini adalah kerana mereka meminati sesebuah lagu itu disebabkan penyanyi lagu tersebut bersuara lunak, sedangkan aku meminati sesebuah lagu itu kerana muziknya. Dalam kata lain mereka meminati penyanyi; aku meminati penggubah. (oh, baru aku sedar, bukan aku lenient, tapi ramai penyanyi bersuara lunak pandai memilih lagu). Jangan terkejut, bagi aku ada juga lagu-lagu nyanyian boyband yang bagus (bukan ahli boyband tu cipta lagu). Ada juga lagu yang aku minat kerana liriknya yang menarik, walaupun muziknya biasa saja. Tapi bilangan lagu sebegini cukup sedikit. Bagaimana pula dengan kalian? Adakah kalian meminati sesebuah lagu itu kerana penyanyinya bersuara lunak, ataupun muziknya nyaman didengar, ataupun liriknya menusuk kalbu, ataupun cuma penyanyinya berwajah kacak/ayu serta seksi?

20060725

rebut atau tunggu dan lihat (20040331)

Sesetengah orang kata kau perlu rebut segala peluang yang ada, kerana mungkin peluang itu takkan datang kembali. Tapi untuk merebut semua peluang, kau perlu menjadi tamak. Malangnya kalau kau terlalu tamak, kau mungkin kehilangan segalanya bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Kemudian aku terbaca nasihat yang berbunyi seperti ini: Jangan terlalu risau dalam hidup, semuanya akan datang secara semulajadi. Jadi haruskah aku rebut sesuatu peluang itu, ataupun patut aku tunggu dan lihat peluang itu datang sendiri dalam hidup aku secara semulajadi? Ataupun aku cuma takut kehilangan satu-satu peluang?

20060724

budak menangis (20040320)

Pernahkah kalian melihat situasi dimana siibu akan berkata kepada anak kecilnya,"Sayang, janganlah menangis. Malu mak orang tengok tu." Yang aku hairan ialah, mengapa perlu malu? Bukannya budak itu dia culik. Kalau penculik memang patutlah malu dengan orang ramai.Biasalah budak-budak kecil menangis. Orang ramai pun satu hal, ditenungnya budak menangis tadi macamlah tak pernah tengok budak menangis; macamlah tak pernah menangis masa kecil-kecil dulu. Sekali pandang itu tidak mengapa. Ini ditenungnya siibu tadi macam menenung penculik gamaknya. Tak faham aku dengan dunia ini.

20060723

salji (20040311)

Mula-mula aku lihat salji berterbangan, ia kelihatan seperti abu dari kawasan bekas kebakaran yang ditiup oleh angin. Patutlah sebahagian besar cerita-cerita barat mahupun animasi jepun menggambarkan kesedihan dengan turunnya salji. Tetapi banyak orang kata salji itu cantik, putih serta suci. Malahan ada juga kisah-kisah yang cuba menggambarkan kegembiraan, ataupun kelegaan dengan turunnya salji. Malangnya aku tidak nampak dimana letaknya kecantikan salji sehinggalah pada suatu hari, tatkala aku melihat keluar tingkap aku rasa salji itu cukup indah. Tetapi kenapa dulu aku tak nampak salji itu indah. Rabunkah aku dulu, atau sebenarnya semua benda adalah biasa saja - mood kita yang memperlihatkan kecantikan atau keburukan sesuatu. Bila mood kita baik, semua benda nampak indah. Bila tak baik, semuanya hodoh.

20060722

coklat (20040307)

Kini aku suka coklat. Baik coklat berbentuk bar mahupun roti berintikan coklat ataupun minuman berperisa coklat. Tetapi seingat aku kecil-kecil dulu, aku tak suka coklat. Milo pun aku tak minum. Pada masa itulah. Sekarang aku sudah boleh minum Milo. Sejak bila serta mengapa persepsi aku terhadap coklat berubah pun aku tak tahu. Sehinggalah pada suatu hari, mak aku beritahu (aku tak tanya pun) bahawa masa aku kecil-kecil dulu aku cukup suka coklat sampai mak aku buat satu kek coklat khas untuk aku hampir setiap minggu (mungkin aku muda sangat agaknya, sebab aku tak ingat pun). Benda ini berlarutan sehinggalah aku batuk-batuk yang teruk. Doktor nasihatkan agar aku tidak lagi memakan coklat (pada mak ayah akulah, aku mana faham lagi masa tu). Sejak hari itu mak aku sudah tidak lagi membuat kek coklat. Malahan sekarang mak aku sudah lupa, bagaimana hendak membuat kek coklat. Kehidupan ini cukup aneh.

20060721

menyusahkan orang? (20040228)

Seorang guru pernah menasihat kalau tak mampu nak tolong orang lain, jangan menyusahkan orang lain. Aku tak suka menyusahkan orang lain lebih-lebih lagi orang yang aku sayangi. Kerana tidak mahu menyusahkan mereka aku lebih suka menyelesaikan masalah sendiri. Tetapi sebenarnya orang yang kita sayangi suka kalau kita "menyusahkan" mereka. Ibu bapa serta rakan baik kita mahupun sesetengah guru ingin mengetahui masalah kita dan berasa seronok sekiranya dapat membantu dalam menyelesaikan masalah tersebut. Meskipun mereka berkata, "Menyusahkan orang saja." Percayalah, mereka lebih marah sekiranya mendapat tahu kita tidak meminta bantuan mereka. Patutkah aku buat benda yang aku suka, ataupun buat benda yang orang yang aku sayangi suka?

20060720

siaran langsung (20040220)

Kemampuan seseorang untuk melakukan persembahan secara langsung bergantung kepada kemampuannya untuk menyelamatkan persembahannya sekiranya berlaku sesuatu diluar dugaan ketika persembahan itu dijalankan kerana jika didasarkan hanya kepada persediaan yang mantap seperti raptai (rehearsal) yang secukupnya misalnya, semua orang yang berani dan yakin mampu membuat persembahan secara langsung.

20060719

lagu cinta (20040211)

Kita mengetahui bahawa terdapat satu kategori daripada lagu yang dikenali sebagai lagu cinta. Sebahagian daripada kita tidak menyukai lagu sebegini kerana mungkin terlalu jiwang bagi mereka. Tetapi tidakkah kita perasan bahawa semua lagu sebenarnya adalah berkenaan dengan cinta. Contohnya Negaraku adalah berkenaan cinta kepada negara serta nasyid berkenaan cinta kepada Tuhan. Sebenarnya bagi aku, tidak patut ada kategori lagu cinta kerana lagu adalah berkenaan cinta.