20071021

keras

Aku semasa muda-muda dulu biasa lakukan sesuatu perkara mengikut bagaimana kebanyakan orang lakukan perkara tersebut. Kebanyakan orang maksudnya, kebanyakan orang yang sebaya dengan aku ataupun rakan-rakan aku. Biasalah fikiran masing-masing tidak matang. Selalunya melakukan perkara yang merugikan diri sendiri.

Sekarang ini hati aku semakin keras. Aku sudah lebih memikirkan baik buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Kini aku akan melakukan perkara yang betul (mengikut pandangan aku) tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Biasanya aku akan mengikut gerak hati sahaja sekiranya ada antara pilihan-pilihan itu samar.

Akan tetapi semakin keras hati aku, semakin sukar untuk aku menerima pandangan serta idea orang lain. Kadang-kadang kalau aku rasa idea orang lain lebih baik, aku terima juga. Cuma aku selalunya menganggap idea aku yang terbaik serta pesimis terhadap idea orang lain. Ini bukan perkara yang baik untuk kehidupan. Aku sebenarnya takut hati aku akan menjadi lebih keras lagi sehingga langsung tidak mengambil kira pendapat lain.

20071001

belajar

Ramai rakan aku kalau boleh tidak mahu belajar lagi. Bagi mereka kalau sudah dapat ijazah sarjana muda (atau kata mudahnya segulung ijazah) sudah mencukupi. Bukannya apa, kata mereka, kebanyakannya sudah merasa penat belajar berbelas-belas tahun. Mereka merasakan belajar merupakan satu perkara yang amat membosankan. Aku rasa pelik. Bagi aku belajar tidak pernah membosankan. Setiap hari kalau boleh aku ingin ada satu ilmu baru bagi aku. Aku akan memilih untuk melakukan sesuatu, sekiranya pada akhirnya aku akan dapat pengetahuan baru. Yang bosan pada aku adalah menduduki peperiksaan. Kalau belajar sahaja tidak mengapa.