20070920

foto


ralat: Aku tersilap tulis tahun. Malas rasa nak betulkan. Harap kalian faham.

20060804

ibu (20050104)

Ketika aku melihat telatah seorang ibu dengan anaknya (atau anak-anaknya), aku teringat akan mak aku. Mungkin kerana semua ibu itu pada umumnya sama.

20060803

tempat duduk (20050102)

Di dalam bas mahupun keretapi terdapat dua jenis tempat duduk. Satu menghadap ke hadapan (sama arah dengan tempat duduk pemandu) dan satu menghadap ke belakang (lawan arah tempat duduk pemandu). (ya, aku tahu ada juga yang menghadap arah sisi, tapi tempat duduk sebegitu tak begitu sesuai dalam entri ini). Tempat duduk yang menghadap ke hadapan ini sangat popular. Kalian perlu cepat sekiranya ingin mendapatkannya. Ada orang memerlukan tempat duduk yang menghadap ke hadapan kerana mereka kata, mereka mudah pening kepala sekiranya mereka duduk menghadap ke belakang.


Sedari dulu lagi, aku akan mengambil tempat duduk yang menghadap ke belakang semata-mata kerana aku malas hendak berebut dengan orang lain yang ingin mendapatkan tempat duduk yang menghadap ke hadapan. Tapi itu cerita dulu. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan tempat duduk menghadap ke belakang, aku kini lebih suka tempat duduk sebegini. Biarpun ada tempat duduk menghadap ke hadapan yang kosong, aku pilih juga yang menghadap ke belakang. Tetapi kebiasaan ini amat bahaya apabila aku berjalan seorang kerana aku mungkin terlepas stesen akibat pandang ke belakang.

20060802

abang/kakak (20041215)

Apa kalian rasa bilamana seseorang yang muda daripada anda (contoh junior) memanggil anda abang atau kakak? Ada antara rakan aku yang berasa geli bila dipanggil sebegitu, disebabkan perbezaan umur yang tidak begitu ketara. Aku pula tidak kisah dengan panggilan sebegitu (panggilan abang, bukannya kakak) kerana dalam keluarga aku memang telah diterapkan benda sebegini. Sepupu aku yang muda 4 bulan dari aku memanggil aku abang dan sepupu yang tua setahun dari aku, aku panggil kakak (ya, sebab dia perempuan).


Zaman muda-muda dahulu aku sangka semua orang macam aku. Jadi bilamasa aku bercerita tentang keluarga aku, aku akan menggunakan abang saudara / kakak saudara / adik saudara. Ada rakan aku mengerutkan dahi. Apabila aku tukarkan perkataan tadi kepada sepupu, barulah mereka faham. Sebab bagi mereka biarpun beza umur 20 tahun, tetap mereka panggil sepupu, tidak seperti aku.

20060801

tolong (20041122)

Rakan aku merungut bahawa kami sering berbuat baik dengan orang yang tidak membalas kembali perbuatan baik itu. Aku kata semula kepadanya yang aku masih lagi berbuat baik kerana aku percaya, sekiranya kita menolong orang, dengan izin tuhan, ada orang akan menolong kita masa kita susah nanti. Ayah aku pernah menasihati aku, agar tidak menolong orang yang kita tahu takkan menolong kita masa kita susah meskipun kita meminta bantuan mereka (kira macam tak kenang jasa). Semua pemikiran ini membuatkan aku berfikir, apakah keikhlasan itu sudah hilang?

20060731

makan (20041110)

Aku tahu ada dikalangan kalian yang semasa makan akan menyimpan (letak tepi) dahulu makanan yang kalian suka ataupun rasa sedap untuk dimakan kemudian, yakni akhir sekali. Aku pun masa kecil dahulu begitu juga. Seperti biasa adik aku akan mengikut apa yang abang dia buat. Kemudian aku dapat satu idea. Aku makan dahulu apa yang aku suka atau rasa sedap. Adik aku masih lagi menyimpan (letak tepi). Ketika diakhir sesi makan, adik aku tanpa segan silu memberikan sebahagian dari makanan yang dia letak tepi tadi kepada aku sebab dia agak kekenyangan. Ya, kini aku dapat makan makanan yang sedap itu lebih banyak. (Sebenarnya kalau aku makan makanan tersebut kemudian, adik aku takkan beri bahagian dia dengan alasan aku masih ada lagi. Taktik ini tetap aku teruskan sehingga kini bilamasa aku makan bersama keluarga aku.)

20060730

hari lahir (20041018)

Tentunya kalian pernah menerima ucapan selamat hari jadi mahupun mengucapkan selamat hari lahir. Aku juga pernah. Katakan kalian punya hari lahir pada awal tahun, kemudian menerima ucapan dari rakan kalian yang hari jadinya jatuh pada akhir tahun. Tentunya terdetik di hati kalian untuk membalas ucapan hari jadi itu ketika akhir tahun nanti. Tidakkah itu berbunyi seperti kalian mengucapkan selamat hari jadi kepada rakan kalian hanya semata-matakerana rakan kalian pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada kalian? Kalau ucapan itu ikhlas dari hati tidak mengapa. Cuma, tidak kiralah ucapan apa pun ( hari raya ke, salam merdeka ke), kalau kita ucapkan kepada dia hanya setakat disebabkan dia pernah ucapkan kepada kita, baik tak payah.

20060729

lagu rakyat (20041006)

Kalau kalian perhatikan, kebanyakan lagu yang dipanggil lagu rakyat sebenarnya merupakan lagu pada zaman 60-an ataupun lebih lama dari itu lagi. Lagu-lagu ini dipanggil lagu rakyat kerana lagu-lagu tersebut bertahap malar segar (evergreen) dan mudah dinyanyikan oleh orang biasa. Lagu-lagu rakyat setiap negeri pula mempunyai dialek yang pekat biasanya. Biasanya lagu-lagu ini dinyanyikan ketika adanya persembahan kebudayaan (Sepatutnya tiada orang nyanyi lagu Negaraku ataupun lagu-lagu patriotik yang lain dalam persembahan kebudayaan). Aku suka dengar lagu-lagu rakyat, iramanya lebih santai dan senang diikuti. Lagu rakyat yang paling aku suka dengar ialah, Jambatan Tamparuli. Biarpun aku tak faham liriknya.

20060728

serius (20040427)

Aku rasa aku seorang yang serius. Ini menyebabkan ramai orang takut beramah-mesra dengan aku (atau lebih tepat jika aku katakan segan), kerana ketika mereka berjenaka pun aku serius. Perkara ini tidak baik untuk kehidupan sosial aku. Aku lihat orang yang pandai beramah-mesra sering kali menyelitkan humor dalam perbualan mereka. Oleh itu, aku telah cuba berjenaka dalam perbualan aku, dengan harapan kehidupan sosial aku bertambah baik.Tetapi hasilnya amat mendukacitakan. Kini orang lain benci pula berbual dengan aku, kerana aku berlawak ketika mereka serius dan sebaliknya. Mungkin lebih baik aku terus sahaja bersikap serius, biarlah orang tidak berbicara dengan aku, asalkan aku tidak dibenci.

20060727

normal (20040413)

Aku benci lawak bodoh, tetapi aku sering buat lawak bodoh.

Aku sering nasihatkan orang supaya bersabar, tetapi aku cepat marah.

Aku tak suka orang lewat, tetapi aku selalu lewat.

Aku kurang gemar mendengar alasan, tetapi aku selalu memberi alasan.

Aku suka orang tangkap gambar aku, tetapi aku tak suka tangkap gambar orang.

Aku gemar melihat bilik yang kemas, tetapi aku malas kemas bilik.

Aku sanggup makan, tetapi aku tak sanggup membeli makanan.

Aku selalu ambil tahu hal orang, tetapi aku tak suka kalau orang ambil tahu hal aku.

Aku benci orang memberikan aku ketidaktentuan, tetapi aku sering memberikan ketidaktentuan.

Normalkah aku?