20091020

guru (20050131)

Sebagaimana orang lain, aku juga punya guru-guru yang terkesan dalam hidup aku. Ada yang pandai mengajar, ada yang penyayang, ada juga yang yakin dengan aku. Malangnya ada guru yang aku hormat, tapi aku lupa siapa dia. Guru Tabika Kemas Kuala Kubu Bharu yang ajar aku pada tahun 1989. (betul tabika, bukan aku salah eja. tabika = TAman BImbingan KAnak-kanak , tadika = TAman DIdikan KAnak-kanak , taska = Taman ASuhan KAnak-kanak. Ini sesuatu yang pelik. Biasanya Bahasa Indonesia yang punya banyak kependekan) Aku hormat sebab kalau bukan dia yang mesrakan aku dengan angka-angka serta huruf-huruf, tentu aku tidak seperti ini.

20090709

dewasa

Cuti-cuti bersama keluarga membuat aku mesra semula bersama mereka. Aku juga dapat bermanja-manja dengan mereka. Benar aku sudah dewasa, tetapi dewasa itu sendiri adalah sesuatu yang subjektif. Terpulanglah, ada yang kata dewasa pada umur, ada yang kata dewasa pada tindakan, juga dewasa pada ketrampilan. Cuma pada aku, aku takkan jadi dewasa di mata ibubapa aku. Bukannya mereka tidak membiarkan aku membuat keputusan aku sendiri. Bukannya mereka mengongkong aku. Tapi aku tahu, aku bukan siapa-siapa di mata mereka. Aku hanyalah seorang anak pada mereka.

20081102

universiti

Tekanan belajar di universiti amat berlainan dari zaman persekolahan. Yang paling utama, tiada maaf dalam peperiksaan di universiti. Di sekolah, kalu kau buat salah dalam kuiz ataupun ujian bulanan, kau boleh belajar dari kesilapan tersebut agar kau tak buat lagi salah di peperiksaan akhir, terutama sekali yang utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya. Lain di universiti. Biasanya, apa yang sudah keluar semasa ujian dalam semester, tidak akan keluar semasa peperiksaan akhir. Jadi kalau kau ada buat salah, kau tak akan dapat tebus kesalahan itu pada peperiksaan akhir.

20081005

maaf

Aidilfitri tiba lagi. Ucapan-ucapan berkenaan raya ini bertaburan di sana-sini. Ada pada banner, kad-kad, mahupun sms.Yang paling murah melalui e-mail. Biasanya bertulis "Selamat Hari Raya". Yang panjang sedikit ada tambahan "Aidilfitri".Yang pendek sedikit cuma "Salam Aidilfitri". Bukan kaedah yang ingin aku bincangkan. Juga bukan ucapan awalan tadi.Tetapi ucapan yang mengekori teks tadi, yakni "Maaf Zahir dan Batin".

Ramai orang menganggap ucapan ini merupakan ringkasan bahawa pengirim ingin memohon maaf atas kesalahan beliau yang telah lalu, tak kira yang kelihatan mahupun yang tersembunyi. Dulu aku pun begitu juga. Tetapi yang membuatkan aku tertanya-tanya, kenapa cuma ada perkataan maaf sahaja, tiada kata mohon ataupun minta sebelumnya. Baru-baru ini aku terfikir, mungkin ucapan ini membawa maksud yang lebih besar dari sekadar meminta maaf sahaja. Aku rasa "Maaf Zahir dan Batin" tidak sekadar memohon kemaafan, tetapi disamping itu menyatakan bahawa kita telahpun memaafkan kesalahan penerima ucapan. Dengan kata lain, kita sebenarnya bukanlah cuma berkata, "Aku minta maaf atas kesilapan aku"; tetapi berkata, "Aku maafkan segala kesalahan kau. Aku harap kau dapat maafkan segala kesalahan aku".

20071226

belajar2

Sering kali orang meminta bantuan aku sekiranya ada sesuatu yang tidak mereka mampu mereka lakukan. Aku pun begitu juga. Meminta tolong tatkala merasa diri kurang kemampuan. Yang menghairankan aku adalah kebanyakan orang yang meminta bantuan aku itu cuma mahu hasil akhirnya sahaja. Mereka tidak mahu tahu bagaimana sesuatu perkara itu dilakukan. Nanti apabila masalah sama wujud, mereka akan minta bantuan semula. Aku, kalau boleh, akan belajar macam mana caranya untuk menyelesaikan masalah tersebut supaya lain kali tidaklah aku meminta bantuan orang lagi. Aku terkilan sebenarnya kerana apabila aku ingin mengajar mereka cara menyelesaikan masalah tersebut, mereka tolak. Bagi mereka asalkan masalah tersebut selesai buat masa ini, sudah mencukupi. Walaupun begitu, ada juga orang yang bila aku minta ajarkan, tidak mahu. Kata mereka kalau ada masalah nanti datanglah kembali cari mereka. Untuk apa ilmu itu disimpan sendiri, tidaklah diketahui.

20071021

keras

Aku semasa muda-muda dulu biasa lakukan sesuatu perkara mengikut bagaimana kebanyakan orang lakukan perkara tersebut. Kebanyakan orang maksudnya, kebanyakan orang yang sebaya dengan aku ataupun rakan-rakan aku. Biasalah fikiran masing-masing tidak matang. Selalunya melakukan perkara yang merugikan diri sendiri.

Sekarang ini hati aku semakin keras. Aku sudah lebih memikirkan baik buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Kini aku akan melakukan perkara yang betul (mengikut pandangan aku) tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain. Biasanya aku akan mengikut gerak hati sahaja sekiranya ada antara pilihan-pilihan itu samar.

Akan tetapi semakin keras hati aku, semakin sukar untuk aku menerima pandangan serta idea orang lain. Kadang-kadang kalau aku rasa idea orang lain lebih baik, aku terima juga. Cuma aku selalunya menganggap idea aku yang terbaik serta pesimis terhadap idea orang lain. Ini bukan perkara yang baik untuk kehidupan. Aku sebenarnya takut hati aku akan menjadi lebih keras lagi sehingga langsung tidak mengambil kira pendapat lain.

20071001

belajar

Ramai rakan aku kalau boleh tidak mahu belajar lagi. Bagi mereka kalau sudah dapat ijazah sarjana muda (atau kata mudahnya segulung ijazah) sudah mencukupi. Bukannya apa, kata mereka, kebanyakannya sudah merasa penat belajar berbelas-belas tahun. Mereka merasakan belajar merupakan satu perkara yang amat membosankan. Aku rasa pelik. Bagi aku belajar tidak pernah membosankan. Setiap hari kalau boleh aku ingin ada satu ilmu baru bagi aku. Aku akan memilih untuk melakukan sesuatu, sekiranya pada akhirnya aku akan dapat pengetahuan baru. Yang bosan pada aku adalah menduduki peperiksaan. Kalau belajar sahaja tidak mengapa.

20070920

foto


ralat: Aku tersilap tulis tahun. Malas rasa nak betulkan. Harap kalian faham.

20060804

ibu (20050104)

Ketika aku melihat telatah seorang ibu dengan anaknya (atau anak-anaknya), aku teringat akan mak aku. Mungkin kerana semua ibu itu pada umumnya sama.

20060803

tempat duduk (20050102)

Di dalam bas mahupun keretapi terdapat dua jenis tempat duduk. Satu menghadap ke hadapan (sama arah dengan tempat duduk pemandu) dan satu menghadap ke belakang (lawan arah tempat duduk pemandu). (ya, aku tahu ada juga yang menghadap arah sisi, tapi tempat duduk sebegitu tak begitu sesuai dalam entri ini). Tempat duduk yang menghadap ke hadapan ini sangat popular. Kalian perlu cepat sekiranya ingin mendapatkannya. Ada orang memerlukan tempat duduk yang menghadap ke hadapan kerana mereka kata, mereka mudah pening kepala sekiranya mereka duduk menghadap ke belakang.


Sedari dulu lagi, aku akan mengambil tempat duduk yang menghadap ke belakang semata-mata kerana aku malas hendak berebut dengan orang lain yang ingin mendapatkan tempat duduk yang menghadap ke hadapan. Tapi itu cerita dulu. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan tempat duduk menghadap ke belakang, aku kini lebih suka tempat duduk sebegini. Biarpun ada tempat duduk menghadap ke hadapan yang kosong, aku pilih juga yang menghadap ke belakang. Tetapi kebiasaan ini amat bahaya apabila aku berjalan seorang kerana aku mungkin terlepas stesen akibat pandang ke belakang.